6 OGOS : Meta Platforms Inc (Meta) membuat permohonan maaf atas tindakan memadam hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook dan Instagram berkait pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh.
Jurucakap Meta dilaporkan berkata kandungan tersebut sudah dipulihkan dengan label berita yang betul dan bersesuaian.
“Kami memohon maaf atas kesalahan operasi yang mana kandungan dari halaman Facebook dan Instagram Perdana Menteri telah dipadamkan.
“Kandungan tersebut dipulihkan dengan label berita yang betul,” katanya pada Selasa.
Kenyataan itu dibuat jurucakap Meta kepada Reuters dalam jawapan e-mel namun tidak dijelaskan alasan tindakan menurunkan hantaran itu.
Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) menuntut Meta memohon maaf secara terbuka atas tindakan mereka termasuk menurunkan ucapan takziah Anwar berhubung pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh daripada platform media sosial itu.
PMO turut menuntut Meta memberikan penjelasan terperinci atas tindakan mereka itu.
Perkara itu dinyatakan kepada wakil Meta yang dipanggil ke Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO di Putrajaya.