9 OGOS : Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menafikan dakwaan beliau menjual kilang Felcra kepada syarikat bukan Bumiputera dan bersedia disiasat mengenainya.
Beliau turut mencabar pihak yang melemparkan tuduhan itu untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Wallahi Wabillahi Watallahi, saya nak pemimpin PAS juga bersumpah bahawa sehingga hari ini, pagi Jumaat ini, saya sahkan bukan sahaja kilang, skru kilang sebiji pun tak pernah saya jual kepada mana-mana pihak,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Temu Mata Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama warga peneroka Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan masyarakat di Kampung Renok Baru di Gua Musang, hari ini.
Tuduhan itu didakwa dibuat Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard sebelum ini dan sekali lagi diulangnya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Sg Asap di Gua Musang, semalam.
Chegu Bard dipetik mendakwa terdapat kilang milik Felcra yang dikatakan terletak di atas tanah milik kerajaan negeri cuba ditukar milik kepada syarikat bukan Bumiputera.
Bercakap kepada pemberita, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi BN Kelantan berkata beliau telah membuat laporan polis mengenai tuduhan itu pada Rabu lepas dan telah mengarahkan peguam beliau untuk menghantar saman kepada individu yang membuat fitnah.
“…ia (penjualan aset) tak pernah berlaku, tak pernah sampai kepada meja saya dan saya tak tahu tentang perkara ini,” katanya.
Ahmad Jazlan mendakwa tuduhan itu juga adalah cubaan untuk mencalarkan imejnya sebagai Pengerusi Felcra dan Pengarah Operasi BN bagi PRK berkenaan.
“Kalau tuduhan ini benar, saya akan meletak jawatan saya sebagai pengerusi Felcra, atau Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri boleh pecat saya sebagai Pengerusi Felcra,” katanya.
PRK DUN Nenggiri yang akan diadakan pada 17 Ogos ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK DUN Nenggiri diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.