9 OGOS : Pemenang Hadiah Nobel Tunggal Bangladesh, Muhammad Yunus dilaporkan mengangkat sumpah sebagai Ketua Kerajaan Sementara Bangladesh pada Khamis.
Memetik laporan Agensi, majlis mengangkat sumpah itu berlangsung di pejabat Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin di Dhaka.
Muhammad dipilih sebagai Ketua Kerajaan Sementara Bangladesh susulan Sheikh Hasina bertindak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan melarikan diri ke India, baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa minggu protes di negara itu berlangsung hingga meragut nyawa ramai.
Terdahulu, Ketua Tentera Bangladesh, Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara susulan peletakan jawatan Hasina.
Pada Selasa, Shahabuddin membubarkan Parlimen Bangladesh.
Selain itu, Shahbuddin turut mengumumkan pembebasan ketua pembangkang dan ketua Parti Kebangsaan Bangladesh (BNP), Khaleda Zia dari penjara.
Protes yang bermula bulan lalu pada awalnya menentang kuota pekerjaan perkhidmatan awam yang dikhaskan lebih separuh untuk Kumpulan tertentu sebelum ia merebak ke seluruh negara.
Namun protes tetap menjadi semakin teruk meski skim itu dikurangkan mahkamah tertinggi Bangladesh, baru-baru ini.
Hasina memerintah Bangladesh sejak 2009 dan memenangi pilihan raya keempat berturut-turut pada Januari.
Kerajaannya dituduh menyalahguna institusi negara untuk mengukuhkan kuasanya dan menghapuskan perbezaan pendapat termasuk melalui pembunuhan di luar undang-undang.