10 OGOS : Felcra Berhad menepis tuduhan berlaku penjualan kilang yang diuruskannya seperti didakwa pembangkang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idris Lasim mengesahkan kesemua kilang masih menjalankan operasi harian seperti biasa.
Beliau turut menegaskan tiada sebarang cadangan penjualan dikemukakan kepada Lembaga Pengarah untuk kelulusan, setakat ini.
“Felcra Berhad menjalankan operasi perkilangan dan kejuruteraan termasuk pengoperasian kilang pemprosesan kelapa sawit.
“Terdapat lima kilang pemprosesan buah kelapa sawit yang beroperasi secara milikan penuh dan diuruskendalikan iaitu Kilang Sawit di Seberang Perak, Perak; Maran, Pahang; Sungai Melikai, Johor; Bukit Kepong, Johor dan Felcra Nasaruddin, Perak.
“Sehingga kini tiada sebarang penjualan yang berlaku terhadap kilang tersebut dan ia masih kekal beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu’bard mendakwa Felcra dalam proses mewujudkan entiti baharu syarikat usahasama bagi memiliki kilang di bawah syarikat berkenaan.
Menurutnya, melalui syarikat usahasama itu, Felcra hanya pemegang minoriti dan syarikat pemegang majoriti yang akan membuat keputusan.
Dakwa Chegubard lagi, menerusi perjanjian tersebut, Felcra hanya dijanjikan RM1.5 juta setahun berbanding beberapa kilang sebelum ini yang mendatangkan keuntungan lebih jauh.
Dalam pada itu, Idris menegaskan sebarang dakwaan di media sosial yang mengaitkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dengan penjualan kilang adalah tidak benar.
“Felcra akan terus memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan bahawa kepentingan semua pihak terlibat sentiasa diutamakan demi memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam industri pengilangan hasil agrikomodit.
“Selepas 27 tahun dikorporatkan, ia telah berjaya mengagihkan melebihi RM8.11 billion agihan keuntungan kepada hampir 107 ribu orang peserta di seluruh Malaysia.
“Selain itu, Felcra turut membangunkan tanah secara komersil serta menceburi bidang agromakanan,” katanya.