13 OGOS : Anggota tentera Malaysia, Batalion 850-11 (MALBATT 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan berada dalam keadaan selamat dan stabil susulan konflik dan pergolakan yang berlaku di Asia Barat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kementerian Pertahanan (Mindef) sentiasa memantau dengan rapat keadaan semasa dan keselamatan lebih 800 anggota dan pegawai yang berada di Lubnan.
“Kita ada pelan, perancangan dan alternatif sekiranya keadaan menjadi semakin meruncing, memang berada dalam tanggungjawab…apa-apa pun keputusan kita berasaskan pada perbincangan, perundingan yang dipersetujui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Bagaimanapun sebagai satu jaminan, pilihan untuk tentera kita di sana memang telah pun kita bangunkan dan ia hanya akan digerakkan apabila keadaan memerlukan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2024 di Lapang Sasar, Kem Syed Sirajuddin di Gemas, hari ini, lapor Bernama.
Sementara itu, beliau berkata MINDEF ketika ini sedang berhubung lanjut dengan Kuwait bagi mendapatkan keputusan dan pendirian negara itu berkenaan hasrat Malaysia untuk mendapatkan pesawat F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF) untuk kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
“Secara teknikalnya, pesawat berkenaan sangat sesuai untuk ATM, keputusannya akan ambil masa sebab ia tak mudah…kita masih menunggu (keputusan) dan sudah berhubung secara lebih dekat dengan Kuwait,” katanya.
Mohamed Khaled sebelum ini dilaporkan berkata Malaysia sememangnya berminat mendapatkan pesawat berkenaan susulan perbincangan pihaknya dengan Kuwait dan penghantaran pasukan teknikal bagi membuat penilaian terhadap pesawat itu pada Jun lepas.
Dalam pada itu, beliau berkata LKT pada tahun ini memberi tumpuan pada penggunaan dron untuk pengintipan dan serangan sekali gus meningkatkan keberkesanan tembakan tidak langsung dengan bantuan aset udara serta integrasi operasi darat dengan sokongan udara.
Beliau berkata ia juga bagi menguji keupayaan komunikasi dan koordinasi antara unit berlainan dalam pertempuran yang kompleks, selain meningkatkan keupayaan tempur tentera darat serta memperkenalkan strategi dan teknologi baharu dalam operasi ketenteraan.
“Ia juga bertujuan membangunkan kompetensi anggota lebih-lebih lagi apabila latihan melibatkan banyak negara kerana kita boleh belajar strategi dan kemajuan teknologi. Jadi, ia memang menjadi latihan yang perlu untuk menguji aset sesuai untuk keperluan negara, lain negara lain keperluan asetnya,” katanya.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata LKT berkenaan juga penting sebagai pendedahan dan petunjuk kepada kementerian untuk penambahbaikan dan kemajuan kepada aset ketenteraan, sekali gus memastikan keselamatan dan pertahanan negara berada pada tahap terbaik.
“Dari sini kita boleh kaji penambahbaikan yang perlu dibuat, latihan yang perlu ditambah dan kompetensi, selain aset ketenteraan lain yang dirasakan perlu untuk negara, contohnya dron tadi, kalau dalam peperangan mesti lebih dua jam dan sebagainya,” katanya.
LKT merupakan latihan medan secara bersama ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM antara lain membabitkan manuver kenderaan tempur, aplikasi sistem persenjataan, penggunaan dron serta rancangan tembakan aset artileri dan mortar dengan bantuan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia.