Pengurusan rantaian bekalan ditingkatkan
13 OGOS : Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Ke-6 Tahun 2024 hari ini bersetuju dengan beberapa langkah bagi meningkatkan tahap pengurusan rantaian bekalan yang kukuh, berdaya tahan dan responsif kepada gangguan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat tersebut berkata langkah itu sejajar dengan objektif untuk membina sekuriti ekonomi negara.
Selain itu, kata beliau, mesyuarat tersebut juga telah meneliti kertas pembentangan berkaitan ‘Membina Sekuriti Ekonomi Melalui Rantaian Bekalan Yang Berdaya Tahan’.
“Saya tekankan peri penting usaha ini sejajar dengan matlamat dan inisiatif di bawah Ekonomi Madani.
“Sekuriti ekonomi bertambah penting terutamanya berlatar belakangkan kelemahan yang wujud ketika dunia bertarung dengan pandemik Covid-19,” kata Anwar menerusi hantaran di laman sosial X beliau, hari ini, lapor Bernama.
Perdana Menteri berkata, kerjasama antara kerajaan, perniagaan dan organisasi antarabangsa mustahak dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras maklum balas dan membangunkan piawaian yang seragam.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim