17 OGOS : Ruang solat di pusat beli-belah di Jepun semakin bertambah demi memenuhi keperluan Muslim berikutan peningkatan pelancong dari negara-negara Islam.
Agensi Berita Kyodo melaporkan orang ramai berbaris di hadapan bilik yang ditetapkan sebagai ‘ruang solat’ pada waktu-waktu tertentu sepanjang hari di Matsuya Ginza, kawasan membeli-belah mewah Tokyo.
Ruang itu dilengkapi tempat wuduk serta tikar untuk memudahkan orang ramai menunaikan solat.
Seorang wanita Malaysia yang berusia 30-an berkata dia telah mencari ruang solat secara dalam talian sebelum tiba di Jepun dan bersyukur dengan kemudahan ini kerana sukar menemukannya di tengah kawasan metropolitan.
Menurut Agensi Pelancongan Jepun, aktiviti pelancong akan terhad jika mereka tidak dapat mencari ruang solat dan terpaksa kembali ke tempat penginapan.
Shibuya Parco di kawasan membeli-belah Shibuya turut menyediakan ruang ibadat.
Sementara itu, Aeon Mall Co., yang mengendalikan kompleks membeli-belah berskala besar turut menyediakan ruang solat di tujuh cawangannya di Chiba, Kanagawa, Aichi, Hiroshima dan Okinawa, dengan rancangan untuk memperluaskan perkhidmatan ini ke cawangan lain.
Jumlah pelawat ke Jepun dari Indonesia, Malaysia dan Turkiye melebihi 870,000 pada 2023, meningkat 2.7 kali ganda berbanding satu dekad yang lalu, menurut Pertubuhan Pelancongan Nasional Jepun, lapor Bernama.