19 OGOS : Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyasar menarik pelaburan hijau bernilai RM300 bilion menjelang 2030 untuk mencapai komitmen pelepasan karbon sifar bersih Malaysia.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata antara 2017 dan 2023, Malaysia mencapai pelaburan hijau yang direalisasikan berjumlah kira-kira RM40 bilion.
“Menerusi Strategi Pelaburan Hijau (GIS), kita merancang untuk meningkatkan jumlah itu kepada RM300 bilion menjelang 2030. Itu adalah sasaran yang sangat agresif tetapi itulah sasaran yang perlu kita capai.
“Ini adalah peningkatan 7.5 kali ganda yang kita perlukan, dan ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang menyasar untuk mencapai RM300 bilion dalam dekad akan datang agar kita boleh mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya pada sidang akhbar mengenai pengumuman GIS itu, hari ini, lapor Bernama.
Tengku Zafrul berkata, GIS dirangka dengan mengambil kira pelbagai dasar utama untuk menjamin pendekatan yang menyeluruh, bersifat saling melengkapi dan juga bagi memastikan tiada pertindihan dasar.
GIS melengkapi dasar jangka panjang negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan Kerangka Ekonomi MADANI, yang menetapkan hala tuju pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan.
Mengenai Belanjawan 2025, Tengku Zafrul berkata insentif diperlukan daripada Kementerian Kewangan untuk membantu syarikat tempatan membuat peralihan kepada tenaga hijau.
“Contohnya jika ada kilang yang tidak begitu efisien, ia akan melibatkan lebih banyak pelepasan karbon. Bagi menjadikannya lebih efisien, mereka perlu melabur dalam teknologi terbaharu.
“Kos pelaburan, kalau boleh kita nak lihat bagaimana syarikat tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana mendapat manfaat daripada insentif tersebut atau pembiayaan lebih rendah, agar mereka boleh melakukan peralihan (kepada tenaga hijau),” katanya.
Dari segi pertumbuhan sosioekonomi, beliau berkata, GIS diharapkan dapat menyumbang RM80 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan mewujudkan 350,000 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, MITI akan bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperluaskan kriteria dan skop pembiayaan pembiayaan hijau.
“Kita ingin meluaskan kriteria serta skop pembiayaan bagi segmen ini agar ia lebih inklusif terutamanya bagi syarikat bersaiz lebih kecil seperti PKS yang mungkin sebelum ini menghadapi cabaran untuk memenuhi syarat-syarat pembiayaan,” katanya.