Tengku Hassanal murka kenyataan Muhyiddin perlekeh Sultan Pahang
19 OGOS : Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh tugas serta peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu didakwa memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah Al-Sultan Abdullah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.
“Kenyataan beliau ini juga kelihatan tidak matang, menampakkan seolah-olah beliau masih tidak boleh menerima kenyataan yang beliau tidak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Kenyataan yang dikeluarkan ini juga adalah sangat bahaya kerana secara terang-terangan menghasut rakyat agar hilang kepercayaan terhadap Institusi Raja-raja Melayu serta memecahbelahkan rakyat,” titah Tengku Hassanal.
Tengku Hassanal bertitah, berdasarkan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan, Perdana Menteri dilantik atas budi bicara Yang di-Pertuan Agong yang berperanan sebagai Ketua Negara.
Sementara Perkara 43(2) pula menetapkan Perdana Menteri haruslah dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan tersebut.
“Sungguhpun begitu, Al-Sultan Abdullah tidaklah sewenang-wenangnya membuat keputusan untuk melantik Perdana Menteri walaupun perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada baginda.
“Baginda semasa itu telah memanggil pakar-pakar Perlembagaan, penjawat awam utama negara dan yang terakhir turut secara musyawarah mendapatkan pandangan daripada Majlis Raja-Raja dan akhirnya barulah pelantikan Perdana Menteri semasa itu dibuat.
“Parlimen juga telah meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Disember 2022. Sehubungan itu, keputusan undi percaya tersebut adalah jelas dan selari dengan pertimbangan KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah semasa baginda memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” titahnya.
Dalam pada itu, Tengku Hassanal menitahkan polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi kepada bekas perdana menteri itu yang didakwa secara sengaja menyentuh sentimen 3R (raja, agama dan kaum).
“Saya juga ingin menasihatkan kepada semua ahli politik, selaku pemimpin rakyat, mestilah sentiasa berpegang teguh pada Prinsip Rukun Negara dan terus-menerus untuk sentiasa menyatupadukan rakyat agar Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang bangsa dapat menjadi sebuah negara maju, cemerlang ekonomi, alam sekitarnya lestari dan rakyatnya bahagia,” titahnya.
Sebelum ini, tular di media sosial ucapan Muhyiddin yang dikatakan menyentuh kewibawaan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ketika ceramah umum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Nenggiri di FELDA Perasu pada 15 Ogos lalu.
Berikutan itu Setiausaha Sulit kepada Tengku Mahkota Pahang, Amir Syafiq Hamzah membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan pada jam 10.38 malam tadi.
Terdahulu, Polis Pahang dilaporkan menerima 28 laporan terhadap Muhyiddin berkait isu itu.