20 OGOS : Kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang dari blok pembangkang menzahirkan taat setia kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Perkara sama dizahirkan terhadap Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Iskandar dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah melalui satu kenyataan.
Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mereka juga menyokong agar siasatan yang adil dijalankan terhadap ucapan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkempen di Nenggiri.
“ADUN PN Pahang menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang berhubung ucapan Tan Sri Muhyiddin semasa berkempen di Nenggiri agar satu siasatan yang adil dijalankan atas dakwaan tersebut.
“Kami meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas mereka dan semua pihak tidak perlu menimbulkan polemik serta hendaklah akur terhadap titah Tuanku.
“Daulat Tuanku,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Semalam, Tengku Hassanal menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan terhadap bekas Perdana Menteri itu yang didakwa secara sengaja dan sinis memperlekeh tugas serta peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Menurut kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz itu, Muhyiddin didakwa memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat seolah-olah Al-Sultan Abdullah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10.