22 OGOS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata adalah lebih baik isu melibatkan ekstradisi Dr Zakir Naik reda seketika selagi pendakwah bebas itu tidak menjejaskan hubungan Malaysia-India.
Anwar berkata Zakir yang sering berada di luar negara dan kembali ke Malaysia sekali-sekala dilihat tidak aktif di negara ini dan tidak membuat sebarang kenyataan menentang India atau Malaysia.
“Kami menghargai kebimbangan yang disuarakan beberapa pihak di sini (India), tetapi selagi Zakir Naik tidak mencetuskan sebarang isu antara Malaysia dan India, serta keselamatan negara, saya fikir kita biarkan dahulu perkara itu,” kata beliau dalam temu bual dengan India Today Global yang dikongsi menerusi YouTube pada Khamis, lapor Bernama.
Wawancara itu diadakan semasa lawatan rasmi Anwar ke India dari 19 hingga 21 Ogos.
Menurut laporan media, Zakir dikehendaki pihak berkuasa India sejak 2016 atas tuduhan pengubahan wang haram dan menghasut ekstremisme melalui ucapan berbaur kebencian.
Anwar berkata, Malaysia mungkin mempertimbangkan permintaan India untuk mengekstradisi pendakwah kontroversi itu sekiranya negara berkenaan memberikan lebih banyak bukti.
“Sudah tentu, kita mesti menghormati kedaulatan undang-undang dan tidak akan membenarkan sebarang bentuk pelanggaran,” kata beliau.
Dalam pada itu, Anwar berkata, Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Menteri Luar India, Dr S Jaishankar memberi jaminan negara itu akan menimbal balik kemudahan kemasukan tanpa visa bagi warga India untuk memudahkan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.
“India sebuah negara yang indah dan Malaysia juga mempunyai banyak perkara yang ingin ditunjukkan dan alu-alukan, sudah tentu bukan sahaja dalam kalangan etnik India, tetapi juga rakyat Malaysia amat meminati budaya dan seni India, bukan sekadar Bollywood, malah lebih daripada itu. Saya telah menyebut beberapa kesusasteraan dan penulisan hebat yang cukup dikenali,” kata beliau.
Anwar berkata, Malaysia mengalami pertumbuhan pesat pelancong dari India susulan pengenalan kemasukan tanpa visa bagi warga India untuk penginapan hingga 30 hari, berkuat kuasa dari 1 Disember 2023 hingga 31 Disember 2024.