22 OGOS : Hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di ibu negara menyebabkan berlakunya tanah runtuh di kawasan Taman Bunga Raya di Jalan genting Klang-Kem Wardieburn, petang tadi.
Sebuah rumah di taman tersebut terjejas dan beberapa rumah turut diarahkan untuk dikosongkan atas faktor keselamatan.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur dilaporkan berkata operasi pemantauan masih diteruskan di kawasan terjejas.
“Maklumat diterima dari pihak polis memaklumkan penghuni rumah berhampiran sudah diarahkan keluar berikutan masih terdapat pergerakan tanah,” kata PGO dalam satu kenyataan.
Menurut bomba hanya sebuah rumah terlibata dalam kejadian itu namun terdapat beberapa rumah lain berhampiran.
Dalam perkembangan lain, beberapa kawasan lain di sekitar ibu negara turut dilanda banjir kilat susulan peningkatan paras air Sungai Klang.
Sementara itu, banjir kilat sejak jam 3 petang pula mengakibatkan limpahan air Sungai Gombak naik hingga membanjiri Pusat Dagangan Dunia (WTC) dan sebuah hotel berhampiran.
Susulan itu, banyak kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta di WTC ditenggelami air hampir setengah meter.
*Foto : Facebook Info Bencana Pahang dan Luar Pahang