Kamala ikrar realisasi gencatan senjata di Gaza jika jadi presiden
23 OGOS : Calon Presiden Amerika Syarikat, Kamala Harris berikrar akan memastikan gencatan senjata di Gaza tercapai sekiranya memenangi pilihan raya Presiden kelak.
Naib Presiden AS itu juga berikrar akan memberi sokongan kepada Ukraine.
“Sekarang adalah masa untuk memastikan perjanjian tebusan dan gencatan senjata dilakukan,” katanya, lapor AFP.
Beliau berkata demikian di hadapan ribuan penyokong pada Konvensyen Nasional Demokratik.
Kamala menerima pencalonan rasmi daripada parti Demokrat untuk jawatan Presiden pada Khamis.
Menurut Kamala, beliau dan Presiden AS, Joe Biden sedang berusaha menamatkan perang di Gaza dengan memastikan Israel terbela, tebusan dibebaskan, penderitaan di Gaza berakhir, dan rakyat Palestin dapat menyedari hak mereka untuk hidup bermaruah, keselamatan, kebebasan serta menentukan nasib mereka sendiri.
“Saya akan sentiasa menyokong hak Israel untuk mempertahankan diri dan saya akan sentiasa memastikan Israel memiliki keupayaan untuk mempertahankan diri,” katanya sambil menyifatkan kemusnahan di Gaza sebagai menyayat hati.
Sebelum ini, Kamala mengumumkan Gabenor Minnesota, Tim Walz sebagai gandingannya dalam pilihan raya itu.
*Foto: Facebook Kamala Harris