23 OGOS : Usul pengampunan penuh terhadap Datuk Seri Najib Razak paling banyak diterima pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata sebanyak 72 usul daripada 171 usul diterima adalah berkait pembebasan bekas Presiden UMNO itu.
“Sesungguhnya, bossku terperangkap di sebalik tirai besi namun suara ikhtiar UMNO tidak akan pernah terhenti, malah berikan kepercayaan dan keyakinan penuh kepada kepimpinan tertinggi.
“Justeru, saya memohon untuk kita terus berdoa kerana doa inilah senjata kita. Semoga Allah melembutkan hati dan membukakan jalan agar pembebasan Datuk Seri Najib ini berlaku akhirnya, mengikut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Hakikatnya kuasa bukan di tangan kita tetapi iman kita meyakini Allah adalah pemilik hati manusia, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Sebelum ini, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Pada Februari lalu, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara sekali gus menyaksikan dia bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Semalam, Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi ketika penggulungan turut menyatakan sokongan untuk terus bersama anak Najib, Nooryana Najwa dalam perjuangan pembebasan bekas perdana menteri itu.