26 OGOS : Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa esok berhubung ucapannya yang dikatakan menyentuh isu berkaitan kaum, agama dan raja (3R) ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pendakwaan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Gua Musang selepas pihaknya menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini, lapor Bernama.
Sementara itu sistem e-Filing Mahkamah Persekutuan Malaysia memaklumkan sesi pendengaran kes berkenaan bermula pada pukul 9 pagi di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.
Sebelum ini media melaporkan polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung ucapan Ahli Parlimen Pagoh itu kepada AGC pada 21 Ogos lepas untuk tindakan lanjut.
Razarudin berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada Muhyiddin dan 66 saksi bagi membantu siasatan.
Sebelum ini tular di media sosial ucapan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang dikatakan menyentuh kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.