31 OGOS : Platform media sosial X di Brazil diarahkan digantung oleh Mahkamah Agungnya selepas syarikat milik Elon Musk itu gagal menamakan wakil undang-undang di negara tersebut dalam tempoh yang ditetapkan.
Perkara itu diputuskan Hakim Mahkamah Agung Alexandre De Moraes pada Rabu.
Menurut Moraes, platform itu perlu digantung sepenuhnya sehingga semua arahan mahkamah dipatuhi termasuk membayar denda sebanyak 18.5 juta reais (AS$3.28 juta) dan menamakan wakil sah di Brazil.
Pengawal selia telekomunikasi Brazil, Anatel diperintah melaksanakan penggantungan itu dalam tempoh 24 jam.
Semua agensi menyalurkan semua arahan itu kepada lebih 20,000 penyedia perkhidmatan Internet di negara itu dan perlu menyekat X.
Dalam pada itu, mana-mana pihak yang menggunakan VPN untuk mengakses X akan dikenakan denda harian sehingga 50,000 reais.
Pada Jumaat, Musk membuat hantaran di akaun X menyifatkan tindakan Brazil itu ‘menutup #1 sumber kebenaran’ serta menyifatkan kerajaan Brazil sebagai rejim yang zalim ‘takut rakyatnya mengetahui kebenaran’.