Lebih 100,000 pengunjung banjiri Dataran Putrajaya
31 OGOS : Sambutan Hari Kebangsaan 2024 berjalan lancar dengan lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di Putrajaya pada Sabtu, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Hari Malaysia (HKHM) 2024 berkata persembahan teres grafik manusia oleh 2,000 pelajar sekolah menengah dari Kuala Lumpur dan Selangor menjadi tarikan utama sambutan itu.
Fahmi berkata persembahan berkenaan mendapat pujian barisan jemaah menteri dan pengunjung yang hadir.
“Mereka amat bertenaga dan ini mengingatkan kita tentang rasa cinta kepada negara. Saya rasa saya mesti tabik hormat kepada mereka dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pun berjumpa dengan mereka dan mengucapkan terima kasih,” katanya kepada pemberita selepas acara sambutan itu, lapor Bernama.
Sambutan tahun ini diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah buat kali pertama selepas Seri Paduka Baginda mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Januari dan 20 Julai lepas.
Ditanya maklum balas Sultan Ibrahim mengenai acara sambutan itu, Fahmi berkata: “Seri Paduka Baginda amat gembira kita menepati masa, itu yang penting, Alhamdullilah.”
Bagaimanapun, Fahmi berkata, pihaknya akan mengadakan post-mortem bagi melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan bagi penganjuran pada tahun-tahun akan datang.
“Alhamdulillah, Sambutan Hari Kebangsaan berjalan dengan baik dan lancar dan semua yang telah kita rancang dilaksanakan dengan baik dan saya rasa pengamatan sama ada maklum balas daripada Perdana Menteri, anggota jemaah menteri dan pengunjung yang sempat saya santuni, menunjukkan mereka merasa berpuas hati.
“Selepas ini, kita akan usahakan sedikit post-mortem untuk melihat apa yang kita boleh lakukan bagi pastikan tahun-tahun akan datang lebih baik daripada apa yang kita usahakan hari ini,” katanya.
Fahmi turut mengucapkan terima kasih kepada semua jawatankuasa yang terlibat menjayakan Sambutan Hari Kebangsaan, hari ini.
Pekarangan Dataran Putrajaya mula dipenuhi orang ramai sejak tengah malam tadi sekali gus menonjolkan semangat patriotik jiwa rakyat Malaysia.
Selain Dataran Putrajaya, acara sambutan di peringkat negeri turut mempamerkan semangat yang sama dalam kalangan masyarakat dengan menggabungkan penyatuan tradisi serta budaya daripada pelbagai kaum dan etnik.
*Foto: Bernama