31 OGOS : Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India di Kuala Lumpur dihentikan serta-merta, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pakar.
“Rentetan laporan kepada Kabinet tentang peristiwa yang berlaku dan keputusan dibuat untuk kita ambil pandangan sudut pakar sebelum ambil keputusan.
“Kita kumpul semua bentuk kepakaran yang ada termasuk dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Mineral Geosains dan Mineral (JMG), Agensi Nuklear Malaysia dan pelbagai.
“Setelah itu, kita buat keputusan untuk hentikan SAR hari ini (Sabtu),” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Jelasnya, selain faktor keselamatan pasukan penyelamat, dapatan di lokasi kejadian juga faktor SAR itu dihentikan.
SAR itu dihentikan selepas memasuki hari kesembilan sejak dimulakan 23 Ogos lalu.