31 OGOS : Wira insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor, Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 pada Sabtu.
Suasana menjadi lebih bermakna apabila suara lantang Mohd Khairul melaungkan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali bergema di Dataran Putrajaya, seolah-olah mengimbau detik bersejarah laungan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Acara bacaan ikrar itu turut disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.
Dalam kejadian pada 2.45 pagi 17 Mei lepas, dua anggota polis di balai berkenaan terkorban selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang.
Sementara itu, pensyarah yang juga penyelaras dan jurulatih bagi bacaan ikrar pasukan IPG Kampus Ilmu Khas, Saiful Azam Khoo Abdullah berkata, penampilan kali ketiga pasukan itu dalam acara penting negara ini dilihat sebagai satu penghormatan besar kepada institusi berkenaan.
“Tahun lepas kami membuat bacaan ikrar dalam bahasa isyarat, kali ini kami melaksanakan bacaan ikrar secara lisan dengan formasi kawad dan pakaian seragam batik,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya.
Ini adalah kali pertama Seri Paduka Baginda berdua menyaksikan acara gilang-gemilang itu selepas Sultan Ibrahim mengangkat sumpah jawatan serta ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, masing-masing pada 31 Januari dan 20 Julai lepas.
Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah pada 8 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tiupan nafiri turut bergema di Dataran Putrajaya sebelum lagu Hormat Diraja dan Negaraku dimainkan oleh pancaragam Kawalan Kehormatan Utama.
Ia disusuli terbang lintas lima pesawat helikopter yang membawa bendera Malaysia serta bendera Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sejurus keberangkatan Seri Paduka Baginda di Pentas Diraja.
*Foto: Facebook, Berita RTM