Kerajaan tubuh sekretariat tangani fungsi bertindih, jimat dana
3 SEPT : Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan ditubuhkan bagi menangani pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sekretariat itu akan bertindak serta-merta dalam usaha kerajaan melakukan pembaharuan perkhidmatan awam.
“Saya sudah putuskan baru-baru ini untuk Kementerian Kewangan (MoF), mewakili kerajaan keseluruhannya membentuk jawatankuasa dua hala, jawatankuasa mengemaskini rasionalisasi badan berkanun.
“Badan berkanun itu terlalu banyak dan bertindih (fungsi), rasionalisasi maknanya kurangkan keterlanjuran dan belanja,” katanya pada Majlis Perhimpunan Bersama Warga Kementerian Kewangan, di Putrajaya, hari ini.
Katanya lagi, langkah reformasi kerajaan itu turut membabitkan pemantauan serta penelitian terhadap semua lantikan termasuk pengerusi dan ahli lembaga pengarah di badan-badan berkanun dan GLC bagi memastikan tatakelola pengurusan kewangan yang baik.
Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Kewangan mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menganggap kedudukan sebagai habuan serta bermegah dengan kemewahan yang sebenarnya adalah dana rakyat dan negara.
“Sebab itu pemantauan harus lebih teliti dan apabila lantik pengerusi baharu, yang pertama dia pastikan kereta apa, pejabat diubah sedangkan pejabat itu sudah cantik.
“(Di) Pejabat Menteri Kewangan, saya kata tak payah tukar, tak payah pinda, (kerana) ada dalam kalangan kita lupa, ini adalah amanah,” katanya.
Beliau juga memberi amaran kepada mana-mana wakil kementeriannya dalam badan berkanun yang tidak melaporkan sebarang pelanggaran peraturan kewangan bakal berdepan pengharaman lantikan pada masa depan.
“Saya nak bagi peringatan. Kalau nampak ada kecelaruan dalam mana-mana agensi, anggota itu (wakil MOF) akan diharamkan daripada menduduki mana-mana (jawatan) lembaga pengarah selepas itu.
“Jadi ada pertanggungjawaban. Kalau tidak, kita bagi arahan. Dia tak lakukan. Keadaan terus jadi,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim