6 SEPT : DAP kekal menentang Akta Hasutan di negara ini meski kini sudah berada dalam blok kerajaan.
Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo menegaskan pendirian parti itu sangat jelas.
“Pendirian kami mengenai Akta Hasutan adalah sangat jelas. Ketika ini, pemakaian Akta Hasutan adalah terhad kepada kes-kes tertentu seperti yang dikatakan oleh Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP).
“Melangkah ke hadapan, pendirian kami (DAP) mengenai Akta Hasutan kekal, tetapi seperti yang telah kami katakan berkali-kali, ini (semakan) masih dalam perbincangan,” katanya pada sidang media, hari ini, lapor Malaysiakini.
Sebelumnya, Anthony berkata Akta Hasutan itu sedang disemak Kabinet di mana ketika ini ia terhad kepada kes yang dikaitkan dengan dakwaan terhadap raja.
Menurut Anthony yang juga Menteri Pengangkutan, kajian semula yang dimulakan sejak tahun lalu itu sedang berjalan.
Katanya, sebarang keputusan dibuat mengenai pindaan yang diperlukan akan memastikan undang-undang terpakai mengikut konteks semasa.
“Mengenai Akta Hasutan semasa, saya rasa perdana menteri telah menjelaskan dengan jelas bahawa ia hanya terpakai buat masa ini untuk isu berkaitan raja.
“Jadi sesiapa yang menyentuh isu raja, sudah tentu akta semasa terpakai kepada mereka,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan kononnya kerajaan pimpinannya itu hipokrit kerana menggunakan Akta Hasutan terhadap pemimpin Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berdepan pendakwaan di bawah Akta Hasutan kerana menyentuh isu raja.