11 SEPT : Pahang dan Perak yang mempunyai kawasan khas untuk hab halal bakal menerima pelaburan besar dari China dalam sektor itu.
Kawasan itu yang dalam pembangunan melibatkan penyediaan tapak pembinaan kilang atau ladang, kemudahan infrastruktur serta tenaga kerja mahir bertujuan menarik pelabur sekali gus memacu peningkatan pendapatan dan ekonomi negeri.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri menawarkan pelbagai insentif dan lokasi strategik untuk pembangunan industri halal termasuk taman perindustrian halal, hab logistik halal dan pelabuhan pematuhan halal.
Beliau berkata antara lokasi strategik yang ditawarkan ialah Hab Halal Gebeng dengan keluasan 304 hektar, Hab Halal Gambang (68.4 hektar) dan Hab Halal Bentong (14.7 hektar).
“Hasil daripada sesi bersama pelabur industri halal China ini, mereka menunjukkan kesungguhan dan minat untuk melabur terutama di Pahang…mereka ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut seperti mengenai tanah dan prosedur lain.
“Saya telah mengarahkan agensi kerajaan seperti PBT (pihak berkuasa tempatan) serta pejabat daerah dan tanah supaya mengurangkan birokrasi, kita tidak mahu proses yang panjang dan mahu segala urusan dipercepat,” katanya ketika ditemui media Malaysia pada Forum Perniagaan Halal Malaysia-China di Shanghai pada Selasa, lapor Bernama.
Semalam,Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Malaysia bakal meraih manfaat pelaburan baharu dari China dalam sektor halal bernilai RM4 bilion menerusi forum itu yang menghimpunkan lebih 30 peserta industri halal dari Malaysia dan China.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia (MPIH) berkata pelaburan besar oleh peserta industri dari republik itu antaranya melibatkan perubatan herba, makanan dan minuman, vaksin, kosmetik dan farmaseutikal.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pihaknya sedang membangunkan Taman Industri Halal Perak (Perak HIP) berkeluasan kira-kira 57.8 hektar berhampiran jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) dekat Lekir, dan fasa pertamanya dijangka beroperasi pada awal 2025.
Beliau berkata pelabur tempatan dan asing boleh membangunkan kilang atau ladang yang berkaitan penghasilan produk halal di kawasan Perak HIP.
Dalam sesi pertemuan dengan hampir 16 kumpulan pelabur China, pihaknya juga dapat memberikan penjelasan mengenai jaminan dan tawaran kerajaan Perak, katanya.
“Kawasan untuk (Perak HIP) sudah ada…jika ada keperluan (pelabur mahu kawasan lebih luas), ada juga kawasan milik Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) untuk dijadikan kawasan industri itu,” katanya.
Beliau berkata terdapat juga individu yang ingin menawarkan lokasi persendirian melalui kerjasama penyediaan kawasan untuk pelabur yang ingin membuka kilang.
Sebuah syarikat produk halal berminat untuk melabur di Perak dengan pelaburan awal bernilai RM20 juta, katanya.
Saarani berkata pelaburan asing itu akan memberi manfaat besar kepada rakyat Perak terutama peluang pekerjaan bagi belia.
“Selain meningkatkan ekonomi negeri, penyertaan Perak dalam forum ini juga sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memacu perkembangan industri halal yang semakin penting di peringkat antarabangsa,” katanya.