11 SEPT : Palestin menerima pengiktirafan buat pertama kalinya dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) sesi ke-79, lapor AFP.
Meski bukan sebagai ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun negara itu pertama kali mengambil tempat dalam kalangan negara anggota pada perhimpunan agung tersebut ketika sesi kali ini.
UNGA memberikan Palestin hak baharu tertentu dalam resolusi terkini namun masih mengecualikan Palestin daripada mengundi atau menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB (UNSC).
Ini langkah pertama Palestin dalam menjadi sebuah negara yang diiktiraf PBB.
Mei lalu, majoriti besar negara anggota pada UNGA menegaskan rakyat Palestin berhak menjadi ahli penuh namun disekat Amerika Syarikat (AS) dengan kuasa veto.
Bermula sesi UNGA ke-79 pada Selasa, warga Palestin boleh mengemukakan cadangan dan pindaan serta duduk dalam kalangan negara anggota.
Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour mengambil tempatnya pada petang Selasa dengan meja bertanda ‘Negara Palestin’ yang terletak antara Sri Lanka dan Sudan.
“Ini bukan sekadar prosedur. Ini adalah detik bersejarah bagi kami,” kata Duta Besar Mesir, Osama Mahmoud Abdelkhalek Mahmoud.
Israel mengecam tindakan tersebut di mana timbalan duta Israel ke PBB, Jonathan Miller berkata perkara itu hanya menggalakkan keganasan oleh Hamas.