13 SEPT : Polis mengesahkan 13 kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam serbuan ke atas 20 rumah amal bawah pertubuhan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH), Rabu lalu pernah diliwat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata siasatan dijalankan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
“Daripada awalnya, kita dapati bahawa terdapat empat mangsa diliwat yang mana kita klasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Kanak-kanak 2007.
“Apabila kita buat temu bual kita dapati ada sembilan orang lagi (mangsa) jadi kesemuanya ada 13 orang. Mangsa liwat berumur bawah 17 tahun,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, hari ini.
Pada Rabu, polis menyerbu 20 rumah amal GISBH dan menahan penjaga, guru agama serta pengerusinya selain menyelamatkan 402 kanak-kanak juga remaja yang menjadi penghuni rumah berkenaan.
Ketika itu Razaruddin berkata, modus operandi pertubuhan tersebut menggunakan agama menutup kejahatan termasuk mendidik mangsa untuk meliwat.
Pada sidang media sama, Razaruddin memaklumkan polis dalam proses memindahkan mangsa yang diselamatkan pada Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan itu.
“Kita dalam proses pemindahan mangsa yang dilaksanakan ops kita yang bermula 11 September. Mangsa yang sudah disaring berjumlah 392 orang.
“Awalnya saya sebut 402 orang tapi apabila kita saring kita dapati ada juga mangsa-mangsa kanak-kanak ini yang autisme, OKU…yang sakit. Ada yang diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat. Setakat ini mangsa 202 lelaki manakala 190 perempuan,” katanya.
Pecahan umur mangsa adalah 57 kanak-kanak berusia 4 tahun ke bawah,
198 orang berusia 5 hingga 12 tahun, 115 orang lagi berusia13 hingga 17 tahun dan 14 orang berumur 18 tahun ke atas.
Selain itu katanya, masih terdapat lapan lagi mangsa yang belum dikenal pasti dan masih dalam tindakan dengan pihak Kementerian Kesihatan selain temu bual penjaga-penjaga rumah amal berkenaan.
“Setakat ini saringan kesihatan sudah dijalankan terhadap 172 mangsa terdiri daripada 130 lelaki dan 42 perempuan.
Daripada pemeriksaan ini juga kita dapati mangsa-mangsa mempunyai kesan-kesan kecederaan baharu dan lama juga fizikal serta emosi…mentalnya. Oleh itu terdapat keperluan untuk menjalankan penilaian lanjut dari segi kesihatan mental, fizikal dan juga pembesaran mereka,” katanya.
Jelasnya, daripada 171 yang ditangkap polis mendapat perintah reman terhadap 159 orang di Negeri Sembilan dan Selangor yang berumur 18 tahun sehingga 51 tahun.
Selain itu, beliau turut menepis dakwaan kononnya polis lambat bertindak atas laporan yang dibuat sebelum ini.
“Kita bukan tiada tindakan. Kita dalam mengumpul maklumat. Ini adalah hasil tindakan berterusan. Tiada isu lambat ambil tindakan.
“Tetapi masa inilah kita boleh bertindak dengan keterangan-keterangan yang kita ada masa ini. Tidak perlu lagi ungkit cerita lama,” katanya.