14 SEPT : Perdagangan bilateral antara China dan Malaysia melonjak kepada AS$117.52 bilion (AS$1 = RM4.30) dalam tempoh tujuh bulan pertama 2024, meningkat 10.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelum ini, kata Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Selain itu, pelaburan langsung bukan kewangan China di Malaysia naik ketara kepada AS$1.28 bilion, menandakan peningkatan dari tahun ke tahun sebanyak 28.8 peratus, katanya.
Dalam tempoh tersebut, beliau menjelaskan ketibaan pelancong dari China ke Malaysia menokok kepada 1.8 juta, mewakili kenaikan 160 peratus dengan hampir 450 penerbangan seminggu yang menghubungkan kedua-dua negara telah melepasi tahap pra-pandemi.
Bercakap pada majlis makan malam ulang tahun ke-75 penubuhan Republik Rakyat China, Ouyang menekankan tahun ini menandakan peristiwa bersejarah ketika China dan Malaysia meraikan 50 tahun hubungan diplomatik.
Di bawah bimbingan strategik pemimpin kedua-dua negara, pembinaan komuniti antara China-Malaysia yang berkongsi masa depan mencapai kemajuan yang kukuh, katanya, lapor Bernama.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Pengangkutan Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta para diplomat, pemimpin komuniti Cina dan wakil perniagaan.
Mengimbas kembali 50 tahun yang lalu, Ouyang berkat, kemajuan dalam hubungan China-Malaysia yang sihat serta stabil telah berakar umbi dalam persekitaran yang saling menghormati dan mempercayai.
“Sikap saling menghormati serta mempercayai telah berakar umbi dalam komitmen kami untuk memulakan perjalanan bersama, pematuhan kami kepada dasar luar negara yang bebas telah menyokong keamanan, pembangunan, keadilan serta keikhlasan dan integriti kami dalam membentuk hubungan yang tulen,” tambahnya.
Ouyang berkata, tempoh peralihan ini menawarkan peluang bagi menarik kekuatan dari masa lalu selain merangka lebih banyak bahagian yang cemerlang untuk masa depan hubungan China-Malaysia.