20 SEPT : Dua kenderaan Tentera Pengaman PBB Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) disahkan diserang di Lubnan, petang kelmarin.
Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan berkata kenderaan Fitted For Radio (FFR) MALBATT 850-11 dinaiki tiga pegawai serta tujuh anggota itu diserang sekumpulan orang awam.
Namun tiada kecederaan terhadap mana-mana anggota dalam kejadian jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia) itu.
“Mereka dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.
“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa dan ketika itulah, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah.
“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua kenderaan MALBATT. Hampir 30 individu membaling batu dan memancitkan semua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,” kata kenyataan tersebut.
Ketua pergerakan itu kemudiannya mengarahkan kenderaan berkenaan berhenti di tepi jalan dan kesemuanya kekal berada dalam kenderaan sementara menanti bantuan.
Kata kenyataan itu lagi, Lebanon Armed Forces (LAF) berjaya mengawal keadaan di lokasi dan membawa kenderaan dan anggota terbabit ke Kem Marakah sekitar jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).
Kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan.
Sebelum ini serangan terhadap kenderaan MALBATT 850-11 di Lubnan tular di media sosial.
Semalam, Kementerian Luar berkata situasi di Lubnan terus dipantau susulan kejadian letupan alat kelui yang berlaku di beberapa lokasi di seluruh negara itu.