28 SEPT : Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini bukan alasan untuk parti itu mendabik dada atau pun berasa selesa.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Syed Hussien Syed Abdullah yang memenangi kerusi itu perlu mengotakan segala yang dijanji kepada rakyat kawasan tersebut.
“Syukur Alhamdulillah, segala puji ke hadrat Allah SWT tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam sekali lagi menganugerahkan kemenangan kepada calon BN yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Syed Hussien Syed Abdullah dengan majoriti luar biasa melebihi 20,000 undi.
“Sesungguhnya, kemenangan ini hadir bersama amanah yang berat, sebuah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan. Buat anakanda Syed Hussien, ingatlah bahawa budi mesti dibalas, kata perlu dikota, janji wajib ditepati. Buatlah terbaik untuk #MahkotaKita.
“Kemenangan di (PRK DUN) Nenggiri dan Mahkota bukanlah asbab untuk kami mendabik dada, jauh sekali untuk berasa megah dan selesa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Malam ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang menang DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.
Dalam kenyataan sama, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata kemenangan itu juga isyarat yang jelas dari rakyat bahawa BN perlu berusaha lebih kuat bagi memberi khidmat yang terbaik demi kehidupan yang lebih sempurna pada masa akan datang.
“Insya-Allah, kami akan terus memperbaiki haluan perjuangan ini, menjadi pemangkin kepada lebih banyak kejayaan untuk UMNO dan BN serta Kerajaan Perpaduan dan seluruh rakyat Malaysia.
“Terima kasih juga kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah memberi sokongan moral dan saya percaya kejayaan ini menandakan penerimaan rakyat kepada tadbir urus dan kepimpinan beliau,” katanya.