Bantuan kerajaan sebabkan sindrom kebergantungan golongan rentan
30 SEPT : Pelbagai insiatif kerajaan bagi membantu golongan rentan yang diamalkan sejak dulu mewujudkan sindrom kebergantungan terhadap kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan dihulur kerajaan sejak sekian lama tidak menyelesaikan masalah penerima tanpa ada langkah diambil untuk memerdekakan golongan itu daripada kemiskinan.
Menurutnya, pelaksanaan program yang berkesan mampu menoktahkan kemiskinan tegar.
“Kita harus jadikan ini satu pengajaran kerana tidak cukup resolusi, dasar dan hebahan tapi mesti laksanakan program.
“Kadang-kadang pelaksanaan itu disinggung, (saya) meminjam pandangan pemikir iaitu Samir Amin tentang ‘Sindrom Kebergantungan’. Kita bantu tapi tidak bantu merdekakan mereka dari sudut ekonomi tapi bantu sekadar mereka hidup.
“Golongan rentan ini kekal bergantung kepada penguasa, jadi penguasa dapat faedah politik kerana orang ini akan survive bergantung kepada kita, ini sindrom kebergantungan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Peluncuran Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Mengulasn lanjut, Anwar berkata kebergantungan itu tidak wajar terus dibiarkan di bawah kerajaan pimpinannya dan penyelesaian segera perlu dicari.
“Walaupun angka hampir dua tahun ini kemiskinan tegar fokus jumlah yang ada pada tahun 2022 (hampir) diselesaikan. Ya betul di peringkat itu kita berjaya, tapi tidak berjaya melepaskan membebaskan mereka dari sudut ekonomi,” katanya.