30 SEPT : Kerajaan komited untuk memperhebat usaha membasmi kemiskinan tegar selaras dengan prestasi ekonomi negara yang sihat, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Beliau berkata kerajaan juga akan memastikan tidak ada yang tertinggal, seiring dengan kerangka Ekonomi Madani.
“Kalau tidak kita akan terus terpisah antara golongan semakin kaya dan golongan yang semakin miskin walaupun angka pertumbuhan ekonomi negara nampak baik,” katanya ketika berucap di Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di Putrajaya pada Isnin, lapor Bernama.
Rafizi berkata, setakat ini indikator ekonomi menunjukkan data memberangsangkan dengan pertumbuhan ekonomi yang positif, inflasi terkawal, pasaran saham terbaik di rantau ini dan pengukuhan nilai ringgit, menunjukkan Malaysia berada di landasan tepat dalam mengendalikan ekonomi negara.
Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan perlu terus fokus bagi memastikan kemajuan dapat dinikmati oleh semua pihak terutamanya golongan memerlukan.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim