3 OKT : Veteran UMNO menyifatkan Kerajaan Perpaduan boleh diwujudkan di Johor seperti yang dituntut Pakatan Harapan (PH) tanpa merugikan mana-mana pihak.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata perpaduan antara Barisan Nasional (BN) – PH boleh dibentuk tanpa perlu perlu merombak atau mengubah keberadaan barisan Exco Johor.
Menurutnya, penglibatan parti selain BN di Johor boleh dipertimbang bagi menyumbang di peringkat agensi-agensi kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Pada pandangan saya Kerajaan Perpaduan di Johor boleh diwujudkan tetapi tidak perlu hingga melakukan rombakan barisan Exco.
“Mungkin ia boleh direalisasikan melalui pembabitan agensi di bawah kerajaan negeri termasuk PBT seperti lantikan ahli majlis,” katanya lapor Malaysiakini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata semua pihak perlu berjiwa besar demi menjayakan Kerajaan Perpaduan di Johor.
“Bagi merealisasikan (cadangannya) itu semua pihak perlu berjiwa besar dan yang penting tidak mengganggu pentadbiran kerajaan negeri sedia ada,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda membangkitkan soal pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri itu selepas kemenangan gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota, baru-baru ini.
Bagaimanapun kepimpinan UMNO menolak perkara itu kerana menganggapnya tidak ada keperluan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco sedia ada terbukti mampu menjalankan tanggungjawab dengan baik hingga menyumbang kepada kemenangan PRK DUN Mahkota.
Akmal mengingatkan semua pihak agar tidak memberi tekanan kepada Onn Hafiz dengan desakan tersebut sambil menegaskan momentum pasukan pimpinan menteri besar itu perlu diteruskan hingga habis penggal.