3 OKT : Kerajaan bersedia mengaktifkan sistem amaran awal bencara banjir di seluruh negara bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sistem amaran itu dijadikan panduan untuk memindahkan penduduk lebih awal di kawasan terlibat.
Timbalan Perdana Menteri berkata arahan juga sudah dikeluarkan terhadap agensi keselamatan untuk mengenal pasti risiko banjir di kawasan pedalaman dengan lebih awal bagi memastikan koordinasi dapat dilakukan dengan berkesan dan selamat.
“Ini terutama di kawasan pedalaman yang sukar dimasuki, jadi kita pada peringkat awal ini bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membuat koordinasi untuk sampai ke lokasi bencana di kawasan pedalaman.
“Sistem amaran awal bencana banjir daripada Jabatan Meteorologi (METMalaysia) sedia diaktifkan apabila tiba masanya, pada masa sama JBPM juga mencipta sistem amaran yang juga alat bagi mengesan jika paras sungai menghampiri paras bahaya.
“Alat khas ini tidak gunakan tenaga elektrik kerana risiko tenaga elektrik terputus ketika bencana, jadi ia menggunakan kombinasi solar dan bateri.
“Kita sudah bersiap siaga dengan sistem amaran awal, selain pergerakan pasukan penyelamat yang akan dikoordinasi bagi membantu kawasan bencana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024 di Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, Kota Tinggi, hari ini.
Beliau berkata, persediaan awal penting bagi mengurangkan risiko kehilangan nyawa, kerugian dan kemusnahan harta benda kesan bencana alam itu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan agar negeri yang kerap dilanda banjir bersiap siaga dan dan menambah baik cara pengurusan risiko menjelang MTL.
Sebelum ini, dilaporkan MTL dijangka bermula bulan depan dan berterusan sehingga Mac 2025 dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) METMalaysia, Ambun Dindang dilaporkan berkata hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.