4 OKT : Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba memberi amaran keadaan yang dialami Ukraine kini mungkin akan berlaku di Asia Timur pada masa akan datang.
Amaran itu disuarakan ketika beliau menyampaikan ucapan dasar pertamanya selepas dilantik sebagai pemimpin negara matahari terbit itu, hari ini.
“Ramai yang bimbang bahawa apa yang berlaku di Ukraine hari ini mungkin akan berlaku di Asia Timur esok. Mengapa pencegahan tidak berkesan di Ukraine?
“Digabungkan dengan situasi di Asia Barat, komuniti antarabangsa semakin berpecah dan bersifat konfrontasi,” katanya, lapor Agensi.
Bekas menteri pertahanan berusia 67 tahun itu tidak merujuk secara langsung kepada China, namun hubungan Tokyo dengan Beijing dilihat merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ia susulan China memperkukuh ketenteraannya di sekitar wilayah yang dipertikaikan di rantau berkenaan.
Jepun turut menimbulkan kemarahan China dengan rancangan meningkatkan perbelanjaan pertahanan secara besar-besaran serta memperkukuh hubungan keselamatan dengan Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk Filipina dan Korea Selatan.
Ogos lalu, sebuah pesawat tentera China menceroboh ruang udara Jepun buat kali pertama, diikuti beberapa minggu kemudian oleh sebuah kapal perang Jepun yang belayar melalui Selat Taiwan buat kali pertama.
Ishiba menyokong penubuhan pakatan ketenteraan serantau yang berfungsi seperti NATO, dengan menyatakan persekitaran keselamatan di Asia ketika ini adalah paling kritikal sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.