4 OKT : Dobi antara kawasan baharu yang digazetkan sebagai kawasan larangan merokok, berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata penguatkuasaan larangan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) itu dilaksanakan secara berfasa.
Menurutnya, kementerian memberi tempoh tiga bulan kepada premis berkaitan sebelum akta itu dilaksanakan.
“Saya sangat bersyukur, akhirnya premis dobi menjadi antara yang disenaraikan sebagai tempat larangan merokok sejak saya menjadi Menteri Kesihatan pada 2019.
“Ini kerana kawasan itu didatangi ibu-ibu, isteri yang membawa anak-anak kecil memandangkan ia tempat awam,” katanya pada sidang media selepas taklimat media Akta 852, hari ini.
Selain dobi, KKM turut menyenaraikan pusat hiburan atau teater (kecuali kasino), kawasan hospital atau klinik, lif atau tandas awam, tempat makan atau kedai berhawa dingin serta bangunan tempat kerja termasuk sektor kerajaan mshu pun swasta.
Senarai baharu kawasan larangan itu menjadikan sebanyak 28 kawasan sudah digazetkan setakat ini.
Denda maksimum ditetapkan RM5,000 bagi mana-mana individu melanggar larangan itu.