Potensi perdagangan Malaysia-Pakistan belum diteroka sepenuhnya
4 OKT : Potensi perdagangan dengan Pakistan dilihat besar namun ia belum diteroka sepenuhnya oleh Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prestasi perdagangan Malaysia-Pakistan masih sangat rendah setakat ini.
“Dua negara ini akui bahawa prestasi perdagangan itu sangat rendah, padahal (mempunyai) potensi yang besar.
“Sebab itu kita kenal pasti beberapa projek dan juga langkah yang harus diambil termasuk seperti yang saya katakan tadi, eksport dari Pakistan seperti beras dan daging…dan import yang akan lebih meningkat (iaitu) kelapa sawit.
“Kemudian, mereka (mahu) perbesarkan kilang farmaseutikal di Malaysia dan akan ada jaringan supaya dapat mereka kembangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Islamabad sempena Lawatan Negara ke Pakistan.
Pada sidang media sama, beliau akui berpuas hati dengan lawatan tersebut yang menyaksikan kedua negara bersungguh dalam usaha meningkatkan hubungan bagi semua bidang perdagangan dan teknologi pertanian.
Malaysia-Pakistan juga katanya akan memperluas kerjasama dalam sektor pekerja mahir menerusi bidang kritikal seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan semikonduktor.
Selain itu menurut Anwar, Pakistan berpotensi menjadi pintu masuk kepada syarikat Malaysia yang mahu mengembangkan pasaran ke Asia Tengah dan Asia Barat.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim