Rasionalisasi subsidi bukan untuk susahkan rakyat
7 OKT : Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penyesuaian tarif elektrik dan rasionalisasi subsidi diesel tidak dilaksanakan untuk menyebabkan kesakitan atau penderitaan kepada rakyat.
Perdana Menteri sebaliknya berkata berbilion ringgit yang dijimatkan daripada tindakan ini kini sedang disalurkan semula kepada rakyat melalui subsidi lain dan pemindahan tunai.
“Itulah yang telah kami lakukan dan akan terus lakukan, sambil kami melangkah dengan berani dalam perjalanan melakukan reformasi struktural,” katanya dalam ucapan sebelum pelancaran Forum Megatrend Khazanah 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin.
Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata kerajaan komited terhadap tadbir urus, akauntabiliti dan keadilan sosial yang memastikan bahawa manfaat pertumbuhan diagihkan secara adil dan saksama, serta memberikan setiap rakyat Malaysia peluang untuk berjaya.
“Individu yang diberi tanggungjawab melaksanakan dasar kerajaan mesti mematuhi piawaian tertinggi dalam hal tanggungjawab, ketelusan dan akauntabiliti.
“Kami tidak akan berkompromi terhadap tindakan tegas, proaktif dan kempen kami menentang rasuah serta penyalahgunaan kuasa,” katanya.
Anwar yang juga Pengerusi Khazanah menegaskan bahawa reformasi struktur juga memerlukan keberanian dan komitmen untuk bertindak tegas terhadap penjenayah, peniaga yang tamak, serta penyalahgunaan kuasa tanpa takut atau memihak.
Dalam hal ini, daripada menuruti desakan populis, tadbir urus yang bertanggungjawab menuntut kita kadangkala bertindak berani dan menghadapi cabaran secara langsung.
“Itulah yang kerajaan lakukan pada Mei lalu apabila kami memutuskan untuk melaksanakan pelan rasionalisasi subsidi diesel,” katanya.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan menegaskan bahawa tidak seperti kerajaan terdahulu yang sering terperangkap dalam situasi kegagalan untuk bertindak, pentadbiran semasa terpaksa mengumpulkan keberanian politik yang teguh untuk membuat langkah tegas walaupun berisiko menghadapi ketidakpopularan.
Katanya, jika kerajaan memilih untuk tidak berbuat apa-apa walaupun sedar bahawa keadaan semasa akan membawa Malaysia ke arah kebankrapan, maka itu adalah pengabaian tugas moral dalam tadbir urus yang baik dan bertanggungjawab.
“Tetapi adakah kami mengambil tindakan ini, termasuk melaksanakan penyesuaian tarif elektrik dan harga terapung bagi barangan keperluan tertentu, untuk menimbulkan kesakitan dan penderitaan kepada rakyat? Sudah tentu tidak.
“Sebaliknya, ketika majoriti rakyat terus menikmati subsidi yang mereka layak terima, golongan kaya dan industri besar perlu membayar mengikut kewajipan mereka,” katanya.