9 OKT : Malaysia menggesa negara anggota ASEAN untuk menolak tawaran yang cenderung menyebabkan perpecahan di rantau ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam seruannya berkata, ASEAN perlu tegas dan tidak goyah dalam menyampaikan mesej yang jelas kepada dunia bahawa kumpulan ini mesti terus kekal bersatu.
Beliau berkata, ASEAN juga harus menjadi penggerak utama dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kerjasama di rantau ini.
“Seiring dengan peningkatan ketegangan global dan dominasi polarisasi berbanding integrasi, sebarang keretakan dan perpecahan dalam ASEAN berisiko dieksploitasi, yang boleh merugikan pusat kepimpinan dan kesatuan ASEAN,” katanya pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Vientiane pada Rabu, lapor Bernama.
Selaras dengan kepentingan keamanan dan kestabilan untuk pertumbuhan serta kemakmuran berterusan di rantau ini, Anwar berkata adalah penting bagi ASEAN untuk terus memupuk dan mengukuhkan hubungan dengan rakan dialog serta rakan kongsi luar.
Beliau berkata, Malaysia juga menggalakkan rakan dialog ASEAN untuk menguruskan perbezaan mereka demi mencapai hasil yang positif.
“Kita tidak boleh menekankan secara berlebihan betapa pentingnya dialog dan kerjasama sebagai asas kepada persahabatan dan hubungan baik,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim