10 OKT : Tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun maut manakala seorang lagi parah selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di hadapan kampus itu di Jalan Pantai Sura, Dungun, malam tadi.
Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin dan Ku Adib Aizad Ku Azmi disahkan meninggal dunia manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan kecederaan parah.
Difahamkan kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke kampus selepas makan malam.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir yang dilaporkan mengesahkan kejadian itu dan berkata kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Honda CRV dipandu wanita itu dipercayai merempuh bahagian belakang kedua-dua motosikal terbabit yang menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke longkang.
Kereta itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dungun, Sharizal Shamsudin berkata panggilan diterima jam 7.26 malam.
Katanya, pemandu wanita itu mengalami kecederaan dan berjaya dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Dua lelaki yang juga penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha LC 135 disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak kesihatan.
“Seorang lagi mangsa yang menaiki Yamaha Y15 meninggal dunia manakala seorang lagi cedera parah dan dihantar ke hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
*Foto : Facebook Zambry Abd Kadir