11 OKT : Tiada jawapan konkrit diberikan Amerika Syarikat (AS) berkait bila boleh ditamatkan kekejaman rejim Israel terhadap Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jawapan yang tidak pasti itu disuarakan Setiausaha Negara AS, Anthony Blinken dalam pertemuan bersama pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, semalam.
“Setiausaha Negara AS ada berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan saya serta berbincang banyak tentang perkara ini.
“Kami bertanyakan bila masalah dan pembunuhan terhadap rakyat Palestin yang sudah merebak ke Lubnan ini boleh diredakan dan dihentikan?
“Tetapi, nampaknya tiada jawapan yang konkrit yang boleh diberi pihak Blinken dan beliau mengatakan semua pihak termasuk AS mahu lihat peperangan ini tidak merebak dan dihentikan segera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia selepas mengiringi Anwar dalam pertemuan dua hala antara Malaysia dan AS di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan 45 dan Sidang-Sidang Berkaitan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata konflik berterusan di rantau Asia Barat yang berlaku kini susulan keangkuhan dan kesombongan rejim zionis yang enggan mendengar gesaan global.
Justeru itu, tegasnya, sudah tiba masa negara-negara sekutu mengambil pendirian jelas untuk tidak lagi bersekongkol dengan rejim zionis dan menghentikan sebarang bantuan.
“Tahulah Israel yang begitu angkuh dan sombong, tidak mahu dengar cakap sesiapa pun.
“Kita berharap negara-negara sekutu yang membekalkan senjata dan segala bantuan kepada Israel. Merekalah yang ‘membesarkan’ gergasi ini, jadi you should look after your own monster,” katanya.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim