12 OKT : Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah sewajarnya untuk menjamin keselamatan anggota Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) susulan serangan rejim Zionis Israel ke atas ibu pejabat pasukan itu di Naquora, Lubnan pada 10 Oktober.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan itu yang mengakibatkan dua anggota pengaman UNIFIL cedera.
“Serangan ke atas UNIFIL merupakan serangan terhadap Majlis Keselamatan PBB dan ke atas Piagam PBB,” katanya, lapor Bernama.
Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang ditempatkan di Tibnin dan Marakah dilaporkan selamat.
Malaysia juga mengutuk serangan udara oleh rejim Zionis Israel pada hari yang sama ke atas kawasan perumahan berpenduduk padat di Ras el-Nabaa dan al-Nuweiri di tengah Beirut, yang mengorbankan 22 orang dan mencederakan puluhan yang lain.
Kementerian Luar berkata serangan sembarangan berterusan yang menyasarkan anggota PBB dan penduduk awam yang tidak berdosa adalah satu pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa.
Ia berkata: “Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas bagi menghentikan serangan berterusan oleh Israel dan mendesak Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dan resolusi-resolusi Majlis Keselamatan PBB termasuk resolusi 1701 (2006).