12 OKT : Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam akan memastikan negara ini tidak lagi menjadi destinasi pembuangan atau transit sisa elektronik (e-sisa) berjadual dari luar negara.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata perkara itu selaras Konvensyen Basel yang menyatakan ia perlu mendapat kelulusan.
“Ini kerana konvensyen terbabit menetapkan semua pergerakan bahan buangan terjadual yang merentasi sempadan perlu mendapat kelulusan sebelum aktiviti transit, penghantaran, import dan eksport dibuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Jom E-Waste 2024 sempena Hari E-Waste Antarabangsa di ibu negara, hari ini.
Menurut Nik Nazmi, setakat September, 42 kilang e-sisa tidak berlesen dikesan di mana lapan daripadanya sudah ditutup manakala 22 masih dalam siasatan dan 34 lagi beroperasi seperti biasa.
Mengulas lanjut, beliau berkata 436 kontena berjaya ditahan sejak 2020 hingga tahun ini dengan pecahan 88 (2020), 76 (2021), 30 (2022), 47 (2023) dan 195 (2024).
Dalam pada itu, kementeriannya turut bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pelbagai agensi berkaitan bagi mengawal kemasukan e-sisa dari negara luar.
“Malah saya juga ada bertemu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan untuk memperkasakan Jabatan Alam Sekitar serta menjadikannya sebagai barisan hadapan.
“Apa pun, kita nantikan sahaja dapatannya semasa Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan,” katanya.