15 OKT : Sebanyak RM232 juta sudah disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada semua negeri sebagai persiapan menghadapi bencana di seluruh negara, tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengagihan dana itu dibuat kepada ketua isi rumah (KIR) mangsa bencana yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
Menurutnya, jika perlu agensi tersebut akan menyalurkan peruntukan tambahan berdasarkan jumlah sebenar KIR yang terjejas akibat bencana.
“Semua perancangan ini akan diperhalusi dari semasa ke semasa oleh kerajaan. Selaras dengan matlamat pengurusan bencana adalah tanggungjawab bersama Antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), komuniti dan NGO.
“Pelbagai pihak yang lain hendaklah berganding bahu bagi memastikan pelaksanaannya kelak adalah menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) di Parlimen.
Selain itu katanya, arahan juga sudah dikeluarkan bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) diaktifkan dan peranannya diperkasa di semua lokasi bencana bagi memastikan tindakan segera diambil sekiranya berlaku bencana termasuk banjir besar.
“Di samping itu, semua JPBN dan JPBD juga diarahkan bersedia lebih awal untuk memastikan bantuan bekalan sampai ke lokasi yang terlibat bagi mengelakkan keadaan lebih sukar sekiranya jalan terputus dan sebagainya.
“Bagi memastikan pengarahan turun dengan lebih cepat ke lapangan, satu High Level Committee (HLC) telah dibentuk sejak MTL 2023/2024 bagi memperincikan gerak kerja tindak balas bencana yang lebih terselaras,” katanya.
Sementara itu, seramai 82,794 pegawai dan anggota pelbagai cabang agensi kerajaan di semua peringkat berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya dengan sokongan 37,127 unit pelbagai aset.
Ia melibatkan 2,031 unit bot penyelamat; 1,399 unit jentera kenderaan 4×4; 1,646 unit jentera kenderaan berat; 31 unit helikopter; 30,260 unit jaket keselamatan pelbagai saiz untuk kegunaan mangsa; dan 1,760 unit jambatan panel keluli bermodular.
“Bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 2,158,743 mangsa di seluruh negara,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dilaporkan berkata Monsun Timur Laut (MTL) dijangka bermula bulan depan dan berterusan sehingga Mac 2025 dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.