17 OKT : Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di Lubnan disahkan boleh membalas tembakan jika diserang rejim zionis sebagai tindakan mempertahankan diri.
Namun Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tembak balas itu hanya boleh dibuat jika diserang terlebih dahulu.
“Jika berlaku serangan dari segi ukuran pasca perlindungan telah ditetapkan kalau untuk mempertahankan diri itu memang dibolehkan membalas tembakan.
“Bagaimanapun, jika mahu lakukan serangan ofensif maka itu tidak dibenarkan kerana peranan dan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) adalah sebagai pengaman,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) berkait kebenaran untuk MALBATT 850-11 melakukan serangan kepada rejim zionis.
Menurut Khaled keadaan pasukan itu di Lubnan dalam keadaan terkawal dan setakat ini tiada sebarang kerosakan aset mahu pun meragut nyawa sepanjang perang yang berlaku antara Hizbullah dan Israel.
“Semua pasukan di bawah UNIFIL telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.
“Mengambil kira keselamatan petugas, markas UNIFIL juga telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu mengikut prosedur yang ditetapkan sehingga keadaan terkawal,” katanya.
Mengulas lanjut, Khaled berkata UNIFIL sudah menyediakan kemudahan dewan bedah yang terletak sejam dari kem MALBATT 850-11.
“Jadi dalam soal menyediakan dewan bedah dan sebagainya maka itu diambil tanggungjawab dan disediakan sendiri oleh UNIFIL. Ia terletak kira-kira satu jam dari kem
“Sementara itu, di kem pasukan negara ada kemudahan asas untuk merawat terutamanya tahap dua. Pada masa sama, kita telah mewujudkan kerjasama dengan hospital-hospital tempatan,” katanya.