17 OKT : Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh pada Khamis mengeluarkan waran tangkap terhadap bekas perdana menteri Sheikh Hasina atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan yang didakwa dilakukan semasa pemberontakan yang dipimpin pelajar baru-baru ini.
Panel tiga hakim yang diketuai Golam Mortuza Majumdar mengeluarkan perintah itu atas permintaan pihak pendakwa raya.
“Tribunal mengeluarkan perintah, meminta agar Hasina ditangkap dan kemudiannya dibawa ke mahkamah sebelum 18 November,” kata ketua pendakwa raya, Mohammad Tajul Islam yang dipetik agensi berita Bangladesh, Bangladesh Sangbad Sangstha.
Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada 5 Ogos selepas berminggu-minggu protes terhadap pemerintahannya.
Bangladesh mendakwa beberapa tokoh utama, termasuk bekas menteri dalam pentadbiran Hasina atas tuduhan seperti pembunuhan, pelanggaran hak asasi manusia dan rasuah.-Bernama