18 OKT : Kejadian bot karam sewaktu sesi latihan regata di Sungai Sarawak berhampiran Royal Bay Commercial Centre, Jalan Buruh Bintawa di Kuching berpunca daripada gelombang pergerakan sebuah bot nelayan yang datang dari arah bertentangan.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata gelombang itu menyebabkan bot regata membawa 16 peserta yang juga kakitangan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) itu dimasuki air.
“Jadi air masuk ke dalam bot regata menyebabkannya karam dan semua 16 peserta dalam bot berkenaan berusaha menyelamatkan diri.
“Sejumlah 11 peserta lelaki berjaya menyelamatkan diri, namun lima lagi mangsa serta bot yang karam itu masih belum ditemukan,” katanya kepada pemberita di pusat operasi mencari dan menyelamat di Royal Bay Commercial Centre di Kuching, hari ini, lapor Bernama.
Mohd Farhan Lee berkata, SAR yang dijalankan sejak jam 4.37 petang dan tamat kira-kira jam 7.30 malam itu membabitkan 12 agensi dengan lapan aset serta dua ambulans.
Beliau berkata, operasi berkenaan akan bersambung jam 6 pagi esok dengan menumpukan kepada dua bahagian.
“Hari kedua SAR esok akan dipecahkan kepada dua bahagian, iaitu melalui lokasi kejadian ke arah muara iaitu menuju laut dan satu lagi muara sungai ke bahagian atas.
“Kita akan dibantu juga oleh nelayan tempatan dan kita minta mana-mana pihak yang ingin membantu operasi ini perlu diselaraskan dengan polis,” katanya yang turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.
Mohd Farhan Lee, berkata semua peserta yang terbabit sedang menjalani latihan bagi acara kemuncak perlumbaan Festival Regata Sarawak-Kuching Waterfront 2024 pada 1 hingga 3 November,
“Berikutan insiden ini, kita juga akan pantau dan pasukan regata lain yang akan membuat latihan supaya pentingkan keselamatan dan memakai jaket keselamatan sewaktu sesi latihan,” katanya.
Terdahulu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak memaklumkan mereka yang hilang ialah Mohamad Ikhmal Sama’ail, Majurie Maharuf, Mohd Afiq Isyamudin Asaari, Mohamad Khairul Bidin dan Muhammad Khairul Hisyam Kasturi, berusia lingkungan 22 hingga 35 tahun.