19 OKT : Syarikat Telekomunikasi Palestin (Paltel Group) mengumumkan gangguan sepenuhnya perkhidmatan internet di wilayah utara Semenanjung Gaza yang telah mengalami pembunuhan beramai-ramai berterusan dan pemindahan paksa oleh pasukan pendudukan selama 15 hari, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
“Gangguan itu melibatkan kebanyakan kawasan di utara Gaza yang didahului dengan gangguan berperingkat sebelum terputus sepenuhnya, kru syarikat sedang bekerja keras untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” syarikat itu berkata dalam satu kenyataan.
Gangguan komunikasi dan internet di beberapa kawasan di kem Jabalia menjejaskan keupayaan rakyat untuk berhubung dengan kru pertahanan awam dan perkhidmatan perubatan.
Sejak bermulanya pencerobohan pasukan pendudukan pada 7 Oktober tahun lalu, perkhidmatan komunikasi dan internet di Gaza telah terganggu beberapa kali akibat pengeboman berterusan yang menjejaskan infrastruktur rangkaian komunikasi atau akibat kehabisan bahan api.
Paltel sebelum ini mengumumkan kematian beberapa pekerjanya semasa mereka sedang bekerja untuk memulihkan komunikasi bagi rakyat di Gaza, lapor Bernama.