21 OKT : Malaysia perlu mempunyai wawasan jangka panjang untuk tempoh 30 tahun ke hadapan sebagai hala tuju negara.
Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata di sebalik pelbagai kerangka ekonomi negara ketika ini termasuk Ekonomi MADANI, wawasan jangka panjang penting untuk perlarasan dengan perancangan sedia ada termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Wawasan 2020 mesti ada kesinambungan. Kita bercakap mengenai belanjawan terakhir untuk memasuki RMK-13 tapi ke mana arah kita Yang Dipertua? Kita perlu ada wawasan 30 tahun ke hadapan, 20 tahun, 5 tahun..kemudian belanjawan tahunan.
“Jadi saya bertanya kerajaan, apakah perancangan kerajaan untuk 30 tahun ke hadapan? Saya akui dinamik ekonomi hari ini tidak boleh dibandingkan dengan dahulu tetapi sekurang-kurangnya saya boleh beritahu anak saya, 30 tahun akan datang Malaysia bentuknya bagaimana.
“Dulu kita ada Wawasan 2020, saya diberi pengharapan bahawasanya Wawasan 2020 ada kereta api atas udara, ada penambahan pusat teknologi dan Alhamdulillah walaupun tidak capai sepenuhnya, kita berada di pertengahan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) itu, sebelum ini kerajaan mempunyai perancangan jangka panjang seperti Wawasan 2020 dan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Tak apalah kalau tak mahu teruskan dengan nama tersebut, tapi biarlah ada (wawasan) 30 tahun ke hadapan supaya kita boleh beritahu di mana arah tuju kita,” katanya.
Dalam pada itu, tanpa wawasan jangka panjang, Mohd Shahar bimbang Malaysia akan ketinggalan termasuk dengan Indonesia yang mempunyai Visi Indonesia Emas 2045.
“Saya secara peribadi bimbang dengan kedudukan kita sekiranya kita tiada perancangan 30 tahun ke hadapan. Kita nak selaraskan RMK-13 ini berasaskan apa?
“Saya akui kadangkala perancangan jangka panjang ini merencatkan kebolehsesuaian dan fleksibiliti tidak akan ada. Ia susahkan kita membuat tindakan kerana kebanyakannya akan ikut pelan kerja sedia ada.
“Bagaimanapun, kitalah yang menguruskan perkara ini dan saya yakin perkara ini dapat dilaksanakan,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata Malaysia sewajarnya memanfaatkan kedudukan sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan dalam memperkukuh hubungan diplomatik dan kerjasama ekonomi.
“Saya ingin mencadangkan penubuhan Pusat Pembangunan Latihan dan Penyelidikan Halal ASEAN dan mengkaji ‘Asian Shariah Stock Exchange’ untuk menjadikan ASEAN peneraju kewangan Islam global,” katanya.