23 OKT : Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan kaedah pelaksanaan penyasaran semula subsidi RON95 untuk kumpulan T15 sudah dibentang dan dibincang di pelbagai peringkat.
Menurutnya, kaedah berkenaan akan dimuktamadkan dan dibawa ke Kabinet untuk mendapat persetujuan jemaah menteri.
“Pelbagai perbincangan mengenai kaedah yang lebih adil itu telah dibincangkan sebelum ini. Kaedah-kaedah yang dicadang dan dipertimbang juga telah dibentang dan dibincangkan di pelbagai peringkat kerajaan.
“Setelah semuanya diharmonikan dan perincian pelaksanaan itu mendapat kelulusan jemaah menteri, maka barulah ia boleh diumumkan kepada rakyat,” katanya dalam satu hantaran video di akaun X pada Selasa.
Mengulas lanjut, Rafizi menafikan dakwaan akan berlakunya kenaikan harga petrol RON95 seperti yang diuar-uarkan.
“85 peratus masih nikmati harga RON95 bersubsidi, tiada kenaikan harga RON95 seperti diuar-uarkan. Bagi golongan yang berada dalam 15% teratas dari segi kedudukan sosio-ekonomi, mereka akan bayar harga pasaran.
“Sudah tentu T15 ini merujuk kepada taburan yang lebih adik, bukannya berdasarkan pendapatan kasar semata-mata. Proses untuk memuktamadkan kriteria yang menentukan kedudukan sosio-ekonomi sesebuah keluarga, yang lebih adil itu sedang berlaku,” katanya.