24 OKT : Malaysia mendapati kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja sebagai alat untuk meningkatkan produktiviti tetapi juga sebagai pemacu kepada pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan merentas pelbagai industri dan sektor, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dalam sektor kewangan, AI mempunyai kuasa untuk menambah baik dalam membuat keputusan, mengurangkan risiko dan menawarkan perkhidmatan yang diperibadikan pada skala global.
“AI adalah kunci untuk membuka potensi kenaikan produktiviti, menambah baik pengurusan risiko dan memacu pertumbuhan ekonomi dengan cara yang tidak dapat digambarkan sebelum ini.
“Di Malaysia, kami komited sepenuhnya untuk meletakkan diri kami sebagai peneraju serantau dalam AI dan inovasi digital,” katanya ketika berucap di Forum Ekonomi Pan Pasifik Malaysia di ibu negara, malam tadi, lapor Bernama.
Beliau menekankan kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mewujudkan visi yang jelas dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, yang bertujuan mengintegrasikan AI ke dalam sektor-sektor utama seperti pertanian, penjagaan kesihatan dan bandar pintar.
“Bagi pelabur asing, Malaysia menawarkan peluang yang menarik, pintu masuk ke pasaran Asia Tenggara yang kini berkembang pesat, disokong oleh infrastruktur yang kukuh, tenaga kerja mahir dan kerajaan yang mesra perniagaan serta bersedia untuk masa depan,” tambahnya.
Bertemakan “Pelaburan dan AI dalam Dunia yang Berubah,” Forum Ekonomi Pan Pasifik Malaysia yang dianjurkan oleh Bukit Jalil Global Acquisition 1 Ltd (BUJAU) bermatlamatkan penerokaan peluang antara pelaburan dan AI.
Fadillah dalam pada itu mengulangi komitmen kerajaan memupuk persekitaran mesra inovasi yang memastikan kemudahan untuk menjalankan perniagaan sambil menyediakan akses kepada rantau ASEAN yang lebih luas.
“Malaysia menawarkan ekonomi yang stabil dan berdaya tahan yang serba lengkap untuk menyokong perkongsian jangka panjang.
“Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) kami dan pelbagai insentif fiskal direka untuk menarik pelaburan langsung asing, memastikan anda mendapat sokongan yang diperlukan untuk berjaya dalam usaha niaga anda,” katanya.
Beliau turut menggesa bank-bank global, pakar teknologi dan pelabur yang menghadiri forum itu untuk mempertimbangkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama.
“Sama ada anda ingin memasuki pasaran baharu, mengembangkan portfolio anda atau berinovasi dengan teknologi, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan anda.
“Malaysia bukan sekadar destinasi pelaburan atau pusat inovasi; ia juga merupakan rakan kongsi yang komited kepada pertumbuhan jangka panjang dan mampan untuk semua pihak berkepentingan,” tambahnya.
Forum itu juga menampilkan dua kerjasama iaitu Hamilton Reserve Bank bekerjasama dengan Central Wealth Group dan Roths Investment Bank.
Turut hadir Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Sultan Abdul Aziz Shah.