29 OKT : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pengagihan tender bagi membekalkan makanan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dibuat mengikut tata kelola yang betul.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata pemberian tender berkenaan diluluskan olehnya sendiri.
“Seperti mana saya dengar ucapan Pasir Puteh (Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh) sebelum ini bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tata kelola dalam pengagihan kontrak kepada D’Saji (Felda D’Saji Sdn Bhd) dan Bukit Gantang (Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul)…itu tak benar sama sekali. Saya yang sign (tanda tangan), jadi saya tahu.
“Pasir Puteh dengar dari mana? Dari TikTok? Ini belajar dari mana? Satu lagi dengar dari WhatApps… tak rujuk fakta… bila bercakap…atas nama Islam, rujuk al-Quran tapi bila hentam tak peduli.
“Pasir Puteh, kita nak beritahu, kita tidak ada tolak ansur dalam soal tata kelola (termasuk) dalam pengagihan untuk 85 peratus subsidi RON95 itu kita tetap pertahankan.
“Jadi jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu dalam dewan ini,”katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Nik Muhammad Zawawi ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 semalam mendakwa wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa pada tender itu setelah membaca perbualan antara Syed Abu Hussin dengan seorang pegawai berkaitan tender melalui aplikasi WhatsApp.
Anwar sempat mengingatkan Ahli Parlimen PAS itu agar tidak membuat dakwaan semberono tanpa fakta.