1 NOV : Kesalahan amang seksual secara fizikal terhadap kanak-kanak pada 2023 mencatatkan peningkatan 21.1 peratus iaitu 1,389 kes berbanding 1,147 kes pada 2022, kata Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Dalam kenyataan sempena penerbitan Statistik Kanak-Kanak Malaysia, 2024 hari ini beliau berkata kesalahan amang seksual secara bukan fizikal dan pornografi kanak-kanak masing-masing merekodkan 91 kes dan 67 kes pada 2023.
Bagi kanak-kanak terlibat dengan jenayah, bilangan kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia meningkat 26.5 peratus pada 2023 kepada 1,567 kes berbanding 1,239 kes pada 2022.
“Daripada perspektif perlindungan kanak-kanak, bilangan kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan yang direkodkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 2023 meningkat 26.1 peratus kepada 8,536 kanak-kanak berbanding 6,770 kanak-kanak pada 2022,” katanya, lapor Bernama.
Mohd Uzir berkata berdasarkan statistik anggaran penduduk 2024, kanak-kanak di bawah umur 18 tahun adalah berjumlah 9.14 juta iaitu 26.9 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia iaitu 34.06 juta.
“Bilangan kanak-kanak lelaki dan perempuan di bawah umur 18 tahun masing-masing ialah 4.72 juta dan 4.42 juta. Kanak-kanak merupakan aset negara bagi penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata dari segi aspek tahap kesihatan kanak-kanak didapati Certain conditions originating in the perinatal period kekal menjadi sebab kematian utama yang disahkan secara perubatan bagi kanak-kanak kurang daripada lima tahun pada 2023.
Dari segi aspek pengambilan pelalian, liputan bagi semua jenis pelalian kepada bayi semakin baik pada 2023.
Hepatitis B mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu sebanyak 10.6 peratus kepada 107.7 peratus berbanding 97.1 peratus pada 2022, katanya.
Penerbitan Statistik Kanak-kanak Malaysia, 2024 boleh dimuat turun secara percuma menerusi portal Jabatan Perangkaan Malaysia (www.dosm.gov.my).